Thursday, May 26, 2011

Al-HAQ vs Al-BATIL


Dengan Nama Allah - Dialah Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Hebat, Dengan Kekuasaan KerajaanNya yang meluas, Tuhan yang tidak henti-henti menganugerahkan Nikmat dan Kasih Sayang kepada hamba-hambaNya. Yang Menciptakan Langit dan Bumi dalam 6 masa, Yang mencurahkan hujan, menaikkan matahari yang panas, menurunkan salji dan menggugurkan bunga-bunga. Subhanallah. Maha Suci diriMu. Tiada yang sama dengan diriMu kerana Kaulah satu-satu Tuhan kami. Moga kami semua sentiasa-TETAP berada diatas jalanMu yang suci dan selamat. Ameen.

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh. Alhamdulillah, berkat rahmat dari Allah, KAMI berjaya meneruskan misi kami- iaitu menggalas tugas meneruskan misi Dakwah yang pernah Baginda Nabi Muhammad SAW memperjuangkan dahulu. Dan diteruskan oleh para sahabat, tabiin, tabi' tabiin dan sehinggalah ke harini. Risalah Islam masih bertapak kukuh di atas muka bumi Allah. Alhamdulillah.

Pada siri usrah kami yang lepas iaitu pada Hari Rabu, 26 Mei 2011 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1432, murabbi kami, Akh Azraai Ahmad membincangkan tajuk Al-Haq dan Al-Batil. Apa itu Al-Haq? secara mudahnya Al-Haq itu ialah kebenaran. Contohnya Risalah Dakwah Rasulullah SAW itu haq. Manakala Batil itu suatu perkara yang salah. Batil merupakan lawan kepada Haq. Contoh batil yang ada zaman sekarang ialah Israel, Zionis dan Etc.

Gambar diatas merupakan rumusan kepada perkara haq dan batil. Didalam gambar diatas, anda boleh nampak 5 watak makhluk dan satu watak Tuhan iaitu Allah SWT. 5 watak makhluk itu ialah - Malaikat, Insan, Jinn, Syaitan dan juga Iblis.

Persoalannya, siapakah Insan? siapakah malaikat? siapakah jinn? siapakah Syaitan dan siapa pula Iblis? Jadi mari kita rujuk beberapa Ayat Quran yang menjelaskan semua ini.

Insan: Surah Al-Hijr; 26 - "Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya" Kemudian manusia itu ditiup Ruh seperti dalam firman Allah:

Surah Al-Hijr; 28 - "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya"

Jinn: Surah Al-Hijr; 27 - "Dan jin pula, Kami jadikan Dia sebelum itu, dari angin api Yang panasnya menyerap ke liang bulu roma"

Malaikat: Merupakan makhluk Allah yang taat melakukan segala perintahNya. Menurut hadith Rasulullah SAW, Riwayat Muslim: Malaikat diciptakan Allah dari NUR(cahaya)

Iblis: Si iblis ni berasal dari keturunan Jinn seperti Firman Allah dalam Surah Kahfi; 50: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang mereka pilih itu"

Syaitan: Syaitan merupakan sesiapa yang cuba menjauhkan manusia dari Allah, yang memusuhi orang beriman dan sentiasa mengajak manusia melakukan maksiat. Ia boleh jadi dari golongan manusia mahupun jinn. Dalam surah Al-An'am ayat 112: "Dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya Yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa Yang mereka ada-adakan (dari perbuatan Yang kufur dan dusta) itu"

Jadi jika anda lihat dalam gambar rajah diatas, manusia dan jinn itu ada 2 golongan - yang muslim dan kafir. Tetapi para Malaikat sentiasa tergolong dalam golongan yang beriman. Dan si iblis akan sentiasa berada dalam golongan Kafir.

Kenapa Iblis dikatakan golongan yang sentiasa kafir? Dalam surah Al-Hijr, ayat 32-36 Allah berfirman:

32. Allah berfirman: hai Iblis, apa sebabnya Engkau tidak turut bersama mereka Yang sujud itu?".

33. Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia Yang Engkau jadikan Dia dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya".

34. Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah Engkau daripadanya, kerana Sesungguhnya Engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.

35. "Dan Sesungguhnya Engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat".

36. Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaKu hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)"


Jadi dari ayat-ayat diatas, ketahuilah kita bahawa kerana kesombongan si iblis itu, dia telah dilaknat Allah SELAMA-LAMAnya.. Dan atas kebodohan dia bersombong dihadapan Allah, dia telah diusir dari syurga. Sudahlah diusir oleh Allah yang Maha Hebat, berani pula dia buat permintaan. Tak kelihatan langsung rasa bersalah dia dihadapan Allah. Dengan belagaknya si Iblis dia memohon agar dia diberi penangguhan dan dengan kurang ajarnya dia, dia mencabar Allah untuk menyesatkan golongan manusia. Apa Allah jawab? Allah bagi permission. Tapi Allah dah bagi jaminan bahawa ada satu golongan manusia yang akan sentiasa berada diatas jalan yang benar.

39. Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,

40. "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang dibersihkan dari sebarang syirik".

41. Allah berfirman: "Inilah satu jalan Yang lurus, Yang tetap Aku memeliharanya.

42. "Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Subhanallah. Lihatlah Allah telah memberi jaminan bahawa ada golongan mereka yang tetap dipelihara Allah. Dan ada juga golongan yang akan menurut langkah si Iblis. Mereka itulah yang menurut tingkah laku si iblis. dan sebenarnya mereka sendiri yang membuat pilihan seperti itu. Dalam surah Asy-Shams, Allah berfirman dalam ayat ke 8-10:

8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; -

9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

10. Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

ok, kita dah lihat dari golongan manusia itu akan terpecah 2 bahagia - Mukmin dan Kafir. Bagaimana pula Jinn? dalam surah Al-Jinn ayat 11:

"Dan Bahawa Sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan Yang baik keadaannya, dan ada di antara kita Yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara Yang berlainan"

Semasa Nabi Muhammad sedang membaca Al-Quran(masa itu nabi baru balik dari Taif, dan baginda telah dibaling batu dan diusir oleh penduduk taif), Allah datangkan beberapa jinn kepada nabi. Dan jinn2 itu mengaku bahawa dalam keturunan mereka, ada yang beriman kepada Allah dan ada juga yang kufur.(seperti didalam ayat diatas).

So, sekarang kita sudah faham bahawa dikalangan manusia dan jinn, ada golongn beriman dan ada juga golongn kafir. Iblis akan selalu menggoda manusia supaya berpaling dari kebenaran kerana itulah misinya di dunia ini. Dia mesti mencari seberapa banyak manusia untuk masuk sekali dengan dia ke Jahanam. Lihat apa yang diperkatakan iblis didepan Allah:

16. Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;

17. "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (Surah Al-A'raf ayat 16-17)

Iblis sememangnya akan berusaha menggoda manusia. Dia akan datang menggoda kita dari pelbagai arah- kanan, kiri, atas dan bawah. Dan sesiapa yang memilih untuk mengotori drinya, akan terikut sekali dalam golongan syaitan. Tetapi sesiapa yang tetap berada diatas jalan yang lurus, pasti akan dilindungi Allah.

Suatu hakikat yang mesti kita tahu, apa saja yang berada dijalan Allah ialah HAQ. dan apa saja yang bukan diatas jalan Allah ialah BATIL. so, sekarang ni ada 2 golongan yang akan bertarung sampai hari akhirat. iaitu Hizbullah VS Hizbu Syaitan. Lihat ayat ke 19 dari surah Al-Mujadalah:

"Syaitan telah Menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang Yang rugi"

dan lihat juga ayat ke 22 dari surah yang sama:

"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra Dengan orang-orang Yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang Yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman Dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka Dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang Yang berjaya"

Jadi akhirnya mereka yang mengikuti langkah syaitan akan tergolong dalam golongan Al-Khosirun(RUGI) an mereka yang tetap mengikuti jalan lurus akan tergolong dalam golongan Al-Muflihun(Untung). Cuba lihat ayat 43-46 dari surah Al-Hijr:

43. "Dan Sesungguhnya neraka jahannam itu, tempat Yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).

44. "Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian Yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)".

45. Sesungguhnya orang-orang Yang bertaqwa adalah ditempatkan di Dalam beberapa taman syurga, Dengan matair-matair terpancar padanya.

46. (Mereka dipersilakan oleh malaikat Dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya Dengan Selamat sejahtera serta beroleh aman".


Orang beriman masuk kesyurga Allah, Orang yang mengikuti langkah syaitan masuklah keJahanam...

Sekian dahulu, Moga bermanfaat!=)


-Al-Mustakdimin-

1 comment:

  1. Alhamdulillah, penjelasan semula yang santai dan mudah faham. Moga jadi pengajaran pada kita semua akan bahaya Hizbussyaithan ini.

    Dan moga-moga kita tergolong dalam Hizbullah yang mengamalkan dan menegakkan agama-Nya.

    Tahniah utk entri pertama blog al-mustaqdimin ini! ^^

    ReplyDelete